Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Thailand tersungkur lagi, Malaysia juarai acara regu

    KUALA LUMPUR, 23 MEI – Skuad kebangsaan Malaysia berjaya menamatkan penguasaan gergasi sepak takraw, Thailand selepas menundukkan pasukan itu 2-0 pada final acara regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa malam ini.

    Trio Malaysia diketuai Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) membuktikan sudah tiba masanya Malaysia kembali digeruni selepas mendominasi sebahagian besar permainan selama sejam menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan itu, 15-8 dan 15-12.

    Kemenangan dilakar itu sekali gus menebus kekecewaan Malaysia pada edisi Piala Dunia 2022 di Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara tewas di perlawanan akhir kepada Thailand.

    Pada set pertama, Malaysia memulakan perlawanan cukup cemerlang dengan sebahagian besar servis dijana sempurna hingga memaksa Thailand akur dengan keampuhan skuad negara.

    Thailand diketuai Poramet Siriswat (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) terdesak untuk menang selepas ketinggalan 5-11, membawa masuk tekong berpengalaman mereka Siriwat Sakha bagi mendapatkan mata
    daripada servis namun ia tidak mengubah keadaan.

    Thailand yang memerlukan kemenangan di set kedua menggunakan pelbagai taktikal dengan harapan boleh mengheret perlawanan ke set penentuan, namun kemasukan Muhammad Haziq Hairul Nizam membantu skuad negara mendapatkan mata melalui servisnya sekali gus mengesahkan kemenangan dengan bergaya. – Bernama

    Pasukan Malaysia muncul juara dalam acara Beregu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...