Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Meskipun terpaksa akur sebagai pasukan pertama yang terkeluar daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018 selepas seri 1-1 dengan Pasukan Timor Leste semalam, pasukan itu tetap berbangga dengan prestasi mereka yang menyertai kejohanan ini tanpa pemain senior dan hanya menampilkan permain bawah 19 tahun.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengurus Pasukan Thailand, Maruay Marhasaranukun ketika mengulas mengenai prestasi Thailand sejurus selepas perlawanan semalam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Menurutnya lagi, pemain yang diserapkan dalam HBT 2018 adalah terhad kerana terdapat banyak pemain yang terlibat dengan Program Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa yang memberikan batasan bagi pemain yang boleh dibawa menyertai kejohanan kali ini.
Jelasnya, kelemahan Thailand dalam kejohanan kali ini adalah kecergasan yang banyak mempengaruhi tempoh latihan dan fokus pasukan akibat jadual yang singkat untuk membangun pasukan yang mantap.
“Kami dihukum ketika kami hilang konsentrasi pada saat-saat akhir perlawanan, namun kami akur dengan kekalahan ini dan mengakui Timor Leste adalah pesaing yang berkelebihan,” ujarnya.
“Kami berjaya mencipta peluang dalam kejohanan ini, namun nasib bukan di pihak kami dan kami terus mencuba memecah kebuntuan namun sebaliknya dihukum dengan jaringan yang menyamakan kedudukan dan sekali gus menamatkan cabaran di kejohanan ini,” tambahnya.
Bagi Maruay, semua pasukan yang menyertai HBT 2018 menunjukkan peningkatan dan mutu bola sepak yang mantap dan ia jelas memberikan mereka tantangan hebat untuk memberhentikan kemaraan mereka pada kejohanan kali ini.
Menurutnya lagi selepas ini perhatian Pasukan Thailand kini tertumpu pada Sukan Asia pada Ogos ini dan Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2018 November ini.