BANGKOK, 14 OGOS – Thailand tidak mengimport produk ais krim Haagen-Dazs yang dilaporkan mempunyai kandungan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) yang tinggi, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Timbalan Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Weerachai Nolwachai berkata pemeriksaan mendapati Thailand tidak mengimport sebarang produk itu, setakat ini.
“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa FDA sentiasa mematuhi pemeriksaan untuk semua produk import.
“FDA juga memantau dengan teliti mengenai isu keselamatan makanan di negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Sistem Amaran Pantas Kesatuan Eropah untuk Makanan dan Hidangan (EURASAFF) dalam satu laporan memaklumkan produk ais krim berperisa vanila dari Perancis itu mempunyai ETO melebihi had yang telah dibenarkan.
Bahan ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan. – Bernama