BANGKOK, 2 MEI – Thailand komited menyediakan peluang kepada tenaga kerja bagi meningkatkan kemahiran dan mencari kemahiran baharu merangkumi semua bidang dalam usaha negara ini untuk memanfaatkan permintaan pekerjanya di luar
negara.
Pemangku Jurucakap Kerajaan, Anucha Burapa chaisri berkata Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha telah mengumumkan dasar mengenai perkara ini yang dianggap sebagai komponen penting dalam keselamatan sosioekonomi Thailand dan perkembangan jangka panjang.
“Kerajaan berusaha untuk terus melaksanakan pembangunan sumber manusia dan inisiatif pembinaan kapasiti bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing serta hasil negara.
“Pihak berkuasa buruh Thailand telah menetapkan sasaran untuk menghantar 50,000 pekerja Thailand ke luar negara pada tahun fiskal 2023 (bermula 1 Oktober 2022 dan berakhir pada September 2023).
“Pada tahun fiskal 2022, Thailand telah menghantar lebih 100,000 pekerja menghasilkan jumlah pendapatan 299.1 bilion baht,” katanya dalam satu kenyataan.
Anucha berkata disebabkan penduduk yang semakin menua di kebanyakan negara, termasuk Jepun, terdapat kekurangan ketara tenaga kerja yang menjadi cabaran utama.
“Ini memberikan peluang kepada pekerja Thailand untuk meneroka peluang pekerjaan di Jepun, terutamanya selepas pandemik COVID-19,” katanya. – Bernama