Saturday, January 25, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand uji kaedah baharu tangani pencemaran udara

    HUA HIN, 24 JAN – Thailand kini menguji kaedah eksperimen menggunakan pesawat bagi menangani pencemaran udara yang teruk di Bangkok, dengan menyembur air sejuk dan ais kering ke atmosfera bagi mengurangkan jerebu tebal.

    Pencemaran udara di ibu negara itu kelmarin mencatatkan lapan kali ganda melebihi had harian yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus memburukkan lagi keadaan kesihatan lebih sejuta penduduk sejak akhir 2023. Menurut Kementerian Kesihatan Awam, krisis itu telah menyebabkan kerugian lebih AS$88 juta dalam kos perubatan.

    Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, menyatakan bahawa punca utama masalah itu adalah pelepasan asap kenderaan, pembakaran tanaman di kawasan luar bandar, serta fenomena cuaca ‘tertutup’ di mana lapisan udara panas menghalang penyebaran debu.

    Bagi menangani fenomena yang dikenali sebagai inversi suhu itu, Jabatan Hujan Buatan Thailand melancarkan misi penyemburan air sejuk dan ais kering dua kali sehari menggunakan pesawat khas.

    AFP yang diberi akses eksklusif ke atas pesawat melaporkan, para kru menggunakan bekas besar untuk menyemburkan air atau ais yang dilepaskan dari bahagian bawah pesawat pada ketinggian kira-kira 1,500 meter. Kaedah baharu itu bertujuan menyejukkan lapisan udara panas bagi memudahkan zarah debu halus (PM2.5) tersebar ke atmosfera lebih tinggi.

    Ia adalah kaedah tidak konvensional yang dikatakan jabatan itu hanya digunakan di Thailand. “Ini bukan pembenihan awan biasa,” kata ketua program Chanti Detyothin.

    Namun, keberkesanan kaedah itu masih menjadi persoalan. Pengkritik menyatakan bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan teknik tersebut mampu mengurangkan pencemaran secara signifikan.

    Thailand kerap berdepan pencemaran udara teruk pada musim kering antara Disember hingga April, apabila keadaan cuaca yang kering dan tiada angin menyukarkan penyebaran debu. “Kami dapati kepekatan (PM2.5) berkurang,” katanya sambil menegaskan bahawa teknologi ini masih dalam fasa percubaan dan terdapat batasan. – AFP

    Pekerja menambahkan air dan ais ke dalam bekas untuk disembur ke udara di lapangan terbang di Hua Hin di Prachuap Khiri Khan wilayah pada 15 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda