KUALA LUMPUR, 11 FEB – Perayaan Thaipusam yang diraikan penganut Hindu hari ini disambut meriah dan penuh dengan semangat harmoni di seluruh Malaysia.
Kemeriahan sambutan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves yang merupakan antara lokasi utama perayaan itu menyaksikan ribuan penganut Hindu membanjiri kuil sejak awal pagi bagi menunaikan nazar masing-masing.
Mereka berarak dengan membawa Paal Kudam (belanga susu) dan kavadi selain terdapat penganut Hindu melakukan upacara memecahkan kelapa dan mencukur rambut sebagai penebus dosa.
Selain penganut Hindu, sambutan turut menarik kehadiran pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong bagi menyaksikan keunikan perayaan kedua terbesar bagi penganut Hindu selepas Deepavali.
Di Pulau Pinang, Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, sesak dengan kehadiran penganut Hindu sejak awal pagi bagi melakukan upacara keagamaan dan menyempurnakan nazar.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P9-1ABERNAMA_12022025.jpg)
Di Johor, hampir 70,000 penganut agama Hindu berkumpul di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil sejak 10 malam tadi, bagi menyempurnakan acara keagamaan selain suasana turut meriah dengan alunan muzik tradisional dan pengunjung berpakaian berwarna-warni.
Di Negeri Sembilan, kira-kira 2,000 penganut Hindu hadir pada sambutan di Kuil Sri Bala Thandayuthapani, Seremban yang merupakan kuil tertua dan terbesar di negeri itu.
Difahamkan, acara keagamaan di kuil itu melibatkan dua sesi, iaitu upacara sembahyang pada sebelah pagi manakala perarakan berlangsung malam ini selain turut terdapat pemberian makanan percuma kepada pengunjung.
Sementara itu, di Selangor, Kuil Sri Subramania Swami, Shah Alam dimeriahkan dengan kehadiran ramai penganut Hindu yang menyertai perarakan membawa belanga susu sebagai simbol pemurnian dan penghormatan kepada Dewa Murugan.
Di Perak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan antara penganut Hindu yang berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh bagi perayaan itu. – Bernama