BANGKOK, 22 SEPT – Bekas perdana menteri Thailand yang dipenjarakan, Thaksin Shinawatra boleh bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan baharu, kata parti pemerintah hari ini, satu langkah yang berkemungkinan menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengkritik jutawan tersebut.
Perdana Menteri Thailand baharu, Srettha Thavisin daripada parti Pheu Thai pimpinan Thaksin, berkata awal minggu ini bahawa perdana menteri dua kali berusia 74 tahun itu masih boleh berkhidmat untuk negaranya.
Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai berkata hari ini bahawa beliau menyokong idea menjadikan Thaksin sebagai penasihat kerajaan.
“Ia satu perkara yang baik kerana beliau mempunyai pengalaman enam tahun dalam kerajaan. Ia akan memberi manfaat kepada negara,” katanya kepada pemberita di rumah kerajaan.
Satu lagi sumber parti mengesahkan kepada AFP bahawa kerajaan gabungan baharu yang diketuai oleh Pheu Thai merancang untuk berunding dengan Thaksin, sebaik sahaja beliau dibebaskan dari penjara. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P10-2Thaksin_23092023.jpg)