Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thaksin rayu pengampunan diraja

    BANGKOK, 31 OGOS – Bekas perdana menteri Thailand yang dipenjarakan, Thaksin Shinawatra telah menghadapkan permohonan pengampunan diraja, kata seorang menteri kerajaan hari ini, ketika khabar angin mengenai perjanjian rahsia untuk pengampunan itu tersebar luas.

    Jutawan berusia 74 tahun itu, dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, telah dihantar ke penjara minggu lalu sejurus selepas kembali ke negara itu setelah 15 tahun dalam buangan.

    Kepulangannya bertepatan dengan partinya Pheu Thai kembali memerintah dalam pakatan dengan beberapa parti pro-tentera, mencetuskan spekulasi meluas bahawa perjanjian telah dicapai untuk mengurangkan masa penjaranya.

    Menteri Keadilan sementara, Wissanu Kreangam berkata Thaksin telah merayu untuk pengampunan daripada hukuman penjara lapan tahun yang dijalaninya atas sabitan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kami sudah terima (permintaan), selebihnya mengikut prosedur,” kata Wissanu kepada pemberita.

    Ditanya berapa lama proses itu akan mengambil masa, Wissanu berkata, “Ia terpulang sepenuhnya kepada pengampunan diraja. Prosedur daripada kerajaan tidak lama, tetapi ia bergantung kepada tempoh pertimbangan (raja).”

    Di bawah undang-undang Thailand, banduan boleh mengemukakan permohonan pengampunan yang diluluskan daripada menteri keadilan melalui perdana menteri kepada majlis privi sebelum dihadapkan ke Raja Maha Vajiralongkorn. – AFP

    Thaksin Shinawatra tunduk sebagai penghormatan kepada potret raja sejurus selepas pulang dari buangan dan tiba di lapangan terbang Don Mueang Bangkok pada 22 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda