Thursday, January 23, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thalita, anak Shuib semakin popular tapi dipulau rakan sekolah

    Sejak namanya semakin dikenali, anak pelawak Shuib iaitu Thalita mendakwa dipulaukan segelintir rakan-rakannya di sekolah.

    Thalita atau Dzahira Thalita Zahra, 13, memberitahu dia tidak tahu punca sebenar mengapa perkara itu berlaku kerana percaya dia tidak pernah berubah.

    Pun begitu Thalita enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk dia berhenti mengejar impian sebagai penyanyi.

    “Memang kena ‘palau’ dengan kawan-kawan. Entah kenapa ada yang cemburu saya pun tak tahu.

    “Tapi saya tak kisah sebab apa-apa pun saya masih Thalita yang sama,” katanya kepada mStar.

    Thalita berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Selasa.

    Dalam pada itu, Thalita memberitahu dia menyedari perubahan segelintir rakan-rakan terhadapnya sejak dia mengadakan persembahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    Kata Thalita, sejak itu dia perasan ada yang mula menjauhkan diri selain terdengar ada bercakap buruk fasalnya.

    “Terkejutlah juga tapi saya buat tak tahu selain berharap keadaan akan kembali seperti dahulu sebab saya tak mahu bermusuhan dengan sesiapa. Saya cuma mahu jadi penyanyi, itu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Thalita memberitahu dia minat menyanyi sejak berusia empat tahun namun perasaan malu membuatkan dia tidak berani menyerlahkan bakatnya.

    Bagaimanapun dia kini sudah mempunyai keberanian untuk tampil ke hadapan selain mengikis sikap pemalu berdepan orang ramai.

    “Daddy selalu cakap sikap pemalu saya itulah akan menghancurkan karier saya nanti dan Alhamdulillah saya sudah mula mengikisnya,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Thalita teruja bakal beraksi di Konsert By Ajai & Mega Friends yang akan diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 10 Mei depan.

    Thalita memberitahu dia akan menyampaikan dua buah lagu pada konsert itu nanti selain sedang giat berlatih dengan bimbingan datuknya yang juga penyanyi Raisuddin Hamzah.

    Pada 3 Januari lalu, Talita membuat penampilan pertama menyanyi di hadapan khalayak selepas tampil melakukan persembahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    Talita Ketika itu menyampaikan lagu milik Allahyarham ibunya iaitu Siti Sarah Raisuddin berjudul Kesetiaan. – Agensi

    Shuib sekeluarga memberi sokongan penuh buat Thalita (dua dari kiri). – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda