Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thalita nak jadi penyanyi, Shuib sedia dikecam

    Setelah memberi keizinan kepada anak perempuannya bergelar penyanyi, pelawak Shuib sudah bersedia menerima reaksi masyarakat termasuk menerima kecaman.

    Shuib atau Shahmira Muhamad, 41, berkata, sepanjang bergelar anak seni, dia sudah memahami permainan warganet yang hanya berani bersuara di media sosial.

    “Saya sudah bersedia bukan kerana saya bukanlah hebat sangat tapi boleh kata dah biasa jugalah terima kecaman ini.

    “Saya dah lalui macam-macam situasi dalam karier saya dan akhirnya saya sedar kecaman ini hanya permainan dalam media sosial.

    “Setakat ini Thalita pun ada baca macam-macam komen. Saya sentiasa ada bersama Thalita dan beritahu dia realiti sebenar. Insya-Allah dia faham,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Shuib berkata dia sudah memaklumkan kepada Thalita tentang cabaran bakal dilalui sepanjang bergelar artis.

    Pesan Shuib, dia mahu Thalita fokus terhadap impiannya bergelar penyanyi dan berjanji akan sentiasa berada di sisi dalam memberikan sokongan.

    “Saya dah cakap dengan dia (Thalita), bukan mudah untuk bergelumang dalam dunia hiburan ini ada banyak cabarannya.

    “Nasihat saya, lalui sahaja jangan risau sebab saya ada untuk beri tunjuk ajar macam mana nak tangani cabaran.

    “Kalau betul-betul nak jadi penyanyi, fokus kepada latihan,” ujarnya.

    Thalita atau Dzahira Thalita Zahra, 13, mula menjadi sebutan ramai apabila membuat penampilan pertama menyanyi lagu arwah ibunya, Kesetiaan di hadapan khalayak ramai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu. – Agensi

    Shuib sedia beri sokongan terhadap Thalita untuk menjadi penyanyi. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda