Thauvin tamatkan rekod kekalahan Marseille

PARIS, 14 SEPT – Florian Thauvin menamatkan 20 perlawanan tanpa menang menentang Paris Saint-Germain buat Marseille selepas juara Ligue 1 sekali lagi mengalami kekalahan dengan keputusan 1-0 kelmarin dan Neymar, yang kembali dari kuarantin setelah dijangkiti COVID-19, telah diarahkan keluar padang disebabkan reaksinya selepas mendakwa dia menjadi mangsa perkauman.

Pemain sayap Perancis, Thauvin terlepas hampir keseluruhan musim lalu disebabkan oleh kecederaan buku lali tetapi sepakan voli dari jarak dekat pada minit ke-31 di Parc des Princes mencatatkan kemenangan pertama buat Marseille ke atas musuh ketat mereka sejak November 2011.

“Kemenangan yang penting. Kemenangan yang bersejarah. Ia adalah kemenangan yang sangat baik, mencabar dan sememangnya sukar,” beritahu ketua jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas kepada Telefoot.

PSG, yang tewas dalam final Liga Juara-Juara musim lalu kepada Bayern Munich bulan lepas, kini tewas dalam dua perlawanan pembukaan mereka musim ini tanpa menjaringkan sebarang gol buat kali pertama sejak 1978/1979 dan tugasan buat pasukan Thomas Tuchel yang dilanda koronavirus bertambah sukar bulan ini.

Jadual perlawanan yang padat, dimulakan dengan penerimaan kunjungan Metz pada pertengahan minggu dan bertandang ke Nice pada Ahad, dan Neymar kini berdepan dengan penggantungan selepas menampar pemain pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez pada waktu kecederaan yang mana berkesudahan dengan lima pemain menerima kad merah.

“Tiada tempat untuk isu perkauman dalam bola sepak dan saya tidak rasa hal tersebut berlaku hari ini. Kami akan menyiasat perkara ini,” kata Villas-Boas.

Penyerang Argentina, Dario Benedetto dan pemain bek kiri Jordan Amavi telah dilayangkan kad merah buat pasukan pelawat.

Pengarah sukan PSG, Leonardo berpendapat pengadil Jerome Brisard kurang berpengalaman untuk mengadili perlawanan besar.

“14 kad kuning dan lima kad merah, ini bermakna perlawanan ini di luar kawalan,” kata Leonardo. “Bukan untuk mengkritik pengadil tetapi mungkin ini bukan masanya untuk mengadili perlawanan ‘clasico’”. – AFP

Reaksi Florian Thauvin semasa meraikan gol bersama rakan sepasukan. Thauvin bantu Marseille catat kemenangan pertama ke atas PSG sejak November 2001. – AFP