Filem seram terbitan Warner Bros dan New Line, The Conjuring: Last Rites mencatat kutipan pecah panggung dengan meraih AS$83 juta pada hujung minggu pertama tayangannya di Amerika Utara, memetik data Comscore.
Filem itu mencatat pembukaan ketiga terbesar bagi kategori filem seram di Amerika Utara, selepas It (2017) dan It: Chapter Two (2019).
Di peringkat antarabangsa, filem berkenaan mengutip AS$104 juta daripada 66 wilayah, menjadikan jumlah keseluruhan tayangan global mencecah AS$187 juta.
Berdasarkan kisah benar dan diarahkan oleh pengarah tetap francais Michael Chaves, filem kesembilan dalam francais Conjuring yang meraih lebih AS$2 bilion itu dibintangi Vera Farmiga dan Patrick Wilson.
The Conjuring: Last Rites setakat ini menerima penilaian 56 peratus di laman ulasan Rotten Tomatoes, manakala tinjauan penonton oleh CinemaScore memberikan gred B pada skala A+ hingga F. – Bernama

