Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    The Empire Hotel & Country Club kini The Empire Brunei

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – The Empire Hotel & Country Club diberikan nafas baharu apabila namanya ditukar kepada The Empire Brunei dalam eksesais penjenamaan semula yang luas untuk mengesahkan kedudukannya sebagai pengalaman mewah paling diinginkan di Asia.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis penjenamaan semula yang diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga Pengarah JPH Sdn Bhd.
    Turut hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapannya menyatakan bahawa bagi tahun terkini, hasil perjalanan percutian The Empire Hotel telah meningkat sebanyak 66 peratus sepanjang tahun lalu.

    “Selain itu, penerbangan terus telah membolehkan peningkatan jualan cuti pendek antara dua dan lima hari dari lokasi penerbangan baharu kami,” jelas Yang Berhormat Dato.

    “Ini mengakibatkan pendapatan bilik pelancong dari Jepun, China, Korea Selatan dan Taiwan kesemuanya menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan masing-masing sebanyak 300 peratus, 13 peratus, 26 peratus dan 128 peratus.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersedia untuk memotong kek bersama Nigel Badminton sempena majlis penjenamaan semula The Empire Hotel & Country Club kepada The Empire Brunei. – Gambar oleh Azlan Othman
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali pada majlis penjenamaan semula nama The Empire Brunei.

    “Saya juga menyedari pendapatan pelancongan golf meningkat sebanyak 30 peratus hingga kini dengan musim puncak dari Disember hingga Mac atau semasa musim sejuk di hemisfera utara,” tambahnya.

    “The Empire Hotel & Country Club sebagai destinasi perhotelan mewah di negara ini, memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pengalaman pelancong keseluruhan dan meningkatkan persepsi Brunei Darussalam sebagai destinasi,” katanya.

    “Sesungguhnya bagi kebanyakan orang, The Empire Hotel akan menjadi pengenalan mereka yang pertama untuk apa yang ditawarkan oleh negara kita. Ini dipakai bukan sahaja untuk pelancong percutian tetapi juga untuk mengalu-alukan rakan perniagaan dan perdagangan kita memandangkan kita terus membangunkan rangkaian antarabangsa di semua sektor industri,” tambah beliau lagi.

    Dalam ucapannya itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menjelaskan bahawa dengan memasuki dekad ketiga, lembaga pengarah bersama pengurusan kanan menyedari bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk menghidupkan semula jenama hotel dan menyelaraskannya dengan strategi pemasaran baharu.

    Menurutnya, hotel berkenaan harus berusaha meletakkan diri di barisan hadapan penawaran pelancongan negara dan menarik lebih banyak bahagian dari jejak pelancongan yang terus berkembang melalui wilayah ASEAN.

    “Pada masa sama, jenama itu harus terus menyampaikan piawaian tertinggi layanan KeBruneian yang The Empire Hotel selalu pegang sambil meraikan persekitaran semula jadi yang merupakan antara khazanah Brunei yang unik, jelas beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato juga berkata bahawa agensi penjenamaan hotel mewah antarabangsa, &SMITH, yang terlibat mengkaji semula dan mencadangkan penjenamaan serta identiti bagi meningkatkan daya maju komersil di luar negara, telah mengenal pasti keperluan untuk mengubah nama demi kejelasan yang lebih baik.

    Di hujung ucapannya, Yang Berhormat Dato menyimpulkan bahawa The Empire harus dikekalkan kerana ia terkenal; untuk memasukkan nama negara, menunjukkan lokasi dan menghilangkan lampiran ‘Hotel and Country Club’ demi menyampaikan penawaran yang lebih luas.

    Majlis petang tadi juga menyaksikan pemotongan kek sempena perasmian penjenamaan semula The Empire Brunei oleh Yang Berhormat Dato dan Pengurus Besar The Empire Brunei, Nigel Badminton.

    Badminton dalam ucapannya juga antara lain menjelaskan bahawa bagi menyokong objektif utama menggalakkan lebih banyak pelawat, keperluan untuk strategi jenama baharu dikenalpasti.

    Sebuah agensi penjenamaan hotel bertaraf antarabangsa dengan reputasi antarabangsa telah berusaha meninjau semula kedudukan jenama untuk menghidupkan semula dan menyelaraskannya dengan kualiti penting jenama berkenaan.

    Dari itu, ia menghasilkan cadangan untuk memodifikasi nama, mentakrifkan warna dan imej untuk mewakili ciri-ciri intrinsik yang lebih baik daripada hotel berkenaan.

    Badminton menjelaskan identiti yang baharu tersebut termasuklah nama baharunya ‘The Empire Brunei’ yang ikonik, di mana mereka telah memutuskan untuk mengekalkan nama penting ‘Empire’ tetapi nama itu harus berubah kepada versi mudah yang menggabungkan Brunei bagi menyokong kedudukan baharu sebagai penawaran utama hospitaliti negara.

    Keputusan untuk menghilangkan ‘Hotel dan Country Club’ adalah sebagai respons kepada hasrat jenama untuk menyampaikan penawaran yang lebih luas dari resort yang tidak dapat ditandingi. Perubahan tersebut telah dibuat secara konsisten merentas semua titik sentuh jenama.

    Selain itu, identiti visual dinamik seperti perubahan skrip di mana perkataan dan tipografi yang baharu dicipta secara tidak ketara menggemakan skrip Jawi; logo baru menggunakan bunga simpur dikelilingi teratai yang melambangkan kedamaian dan santai; palet warna baharu termasuk warna emas bagi menetapkan nada yang regal manakala warna teal menyarankan biru laut dan hijau hutan.

    Ekspresi lanjut persekitaran semula jadi unik negara digambarkan dalam sepasang ilustrasi hiasan dan evokatif, dicat tangan dalam warna-warna yang menarik oleh seorang artis bertauliah.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda