PARIS, 9 JAN – Katinka Hosszu, pemenang pingat emas renang Olimpik tiga kali, mengumumkan persaraannya daripada sukan itu pada usia 35 tahun, kelmarin.
“Saya mengumumkan persaraan saya, terima kasih kepada semua yang terlibat dan menyokong saya!” tulisnya di catatan Facebook warga Hungary itu, yang memenangi acara rampaian individu serta emas dan perak dalam kuak lentang di Sukan Rio pada 2016.
“Selama 30 tahun, air adalah rumah saya, tempat perlindungan di mana saya mendapat ketenangan dan kekuatan,” tambahnya.
“Sejak pertama kali saya menjejakkan kaki di dalam kolam sebagai seorang kanak-kanak, saya tahu saya telah menemui sesuatu yang ajaib. Pelukan air yang sejuk terasa seperti kepulangan, tempat di mana graviti tidak lagi wujud dan setiap gerakan lengan membawa saya lebih dekat dengan impian saya. “
Hosszu memenangi 42 pingat kejohanan dunia antara tahun 2009 dan 2019. Kejayaan yang diperolehnya termasuk sembilan gelaran dunia bagi jarak jauh dan 17 lagi jarak dekat.
Dia memenangi pingat dalam acara rampaian, kuak lentang dan kupu-kupu. Bilangan acara yang disertainya di kejohanan itu telah memberikannya nama jolokan The Iron Lady.
“Ketika saya semakin maju dalam kerjaya renang, saya berubah daripada seorang kanak-kanak yang ingin tahu kepada salah seorang perenang wanita yang paling berjaya.
“Setiap perlumbaan yang saya menangi bukan sahaja bukti kerja keras dan dedikasi saya, tetapi juga mencerminkan banyak masa latihan, pengorbanan yang dilakukan.
“Saya tidak akan melupakan keseronokan dalam perlumbaan itu,” ujarnya.
Hosszu bersara sebagai pemegang rekod dunia dalam acara 100 meter rampaian individu. – AFP