BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Kedutaan Besar Republik Turki akan menganjurkan acara The Market di premis kedutaan berkenaan pada 23 Oktober ini, yang akan mengetengahkan pelbagai produk untuk mengumpulkan dana bagi menyokong aktiviti-aktiviti vendor.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kedutaan berkenaan menyatakan bahawa dalam projek berkenaan, mereka diinspirasikan dengan kejayaan program BIBD SEED yang ditubuhkan pada Oktober 2018 dan bermatlamat untuk memperkasakan ibu-ibu dan wanita kurang bernasib baik.
Sehubungan itu, kedutaan berkenaan ingin menyumbang kepada usaha-usaha yang dibuat oleh institusi dan persatuan berlainan dengan menyediakan platform tambahan untuk berinteraksi dengan orang awam.
Antara yang menyertai acara berkenaan termasuk Almas Volunteering Club, BERSATU, BIBD SEED, Care for Strays, Majlis Wanita Brunei Darussalam (Persatuan PERTIWI dan Persatuan Kebajikan Perempuan), La Vida, Kelab Lion, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Make a Book, Pusat Bahagia Tutong, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SCOT, Smarter Brunei dan Helping Hand Penan.