Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    The Pocket Rocketman perlu waspada muslihat lawan

    KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Skuad berbasikal trek Malaysia, yang dilengkapi dengan versi baharu basikal WX-R Vorteq bernilai RM385,800 setiap satu, melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tanggungjawab besar selaku harapan utama pingat kontinjen Malaysia.

    Tumpuan tentunya terarah kepada juara dunia keirin 2017, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang membuat penampilan kelimanya, menyamai rekod atlet terjun Malaysia, Datuk Leong Mun Yee dan mengatasi rekod legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei yang beraksi sejak edisi Athens 2004.

    Mohd Azizulhasni, 36, dilihat sebagai potensi untuk menukar warna pingat kepada emas selepas memenangi gangsa dalam acara keirin pada edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2022.

    Namun, penampilan terakhir The Pocket Rocketman di pentas Olimpik kali ini bukan sahaja untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, malah perlu juga berwaspada dengan ‘muslihat’ lawan dan pada masa sama memastikan kesihatannya pada tahap terbaik, selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

    Bekas pelumba kebangsaan Malaysia, Mohd Rizal Tisin, yang pernah beraksi dalam acara pecut berpasukan di Olimpik Beijing 2008 berkata Mohd Azizulhasni selaku atlet paling senior dan berpengalaman dalam skuad Malaysia pasti mempunyai perancangan strategi dan taktikal tersendiri selepas dikecewakan di Olimpik Tokyo, tiga tahun lepas.  

    Target beliau pun acara keirin, yang lebih kepada taktikal dan pengalaman untuk menang. Tak semestinya kalau kuat boleh menang, kelebihan Azizul adalah pengalamannya serta tahu  latar belakang taktikal yang sering digunakan pelumba lain.

    “Beliau perlu lebih berhati-hati dan tidak terlalu fokus kepada satu pelumba sahaja sehingga memberikan ruang kepada pelumba lain. Setiap pelumba mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, jadi setiap pusingan itu perlu fokus dan jangan terlalu beri perhatian kepada satu pelumba sahaja,” katanya kepada Bernama.

    Pada Tokyo 2020 yang diadakan setahun lewat kerana pandemik COVID-19, Mohd Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan perak apabila Matthew Glatzier dari Australia membiarkan pelumba Great Britain, Jason Kenny melakukan kayuhan solo di hadapan tanpa mengejarnya. – Bernama

    Mohd Azizulhasni Awang semasa ditemui media pada Majlis Pelancaran Team Mas 50 Hari Menjelang Sukan Olimpik 2024 di Majlis Sukan Negara Malaysia pada 6 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda