LONDON, 29 JAN – Liverpool mengakhiri lima perlawanan tanpa kemenangan di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kembali ke tangga empat teratas liga dengan kemenangan 3-1 di Tottenham selepas beraksi tanpa Harry Kane yang mengalami kecederaan buku lali.
Juara bertahan itu gagal menjaringkan gol pada empat perlawanan terakhir mereka di liga namun pengurusnya, Jurgen Klopp berkata, beliau sudah dapat mengenalpasti kekuatan pasukannya apabila serangan mereka kembali berfungsi dengan jaringan Roberto Firmino pada separuh masa pertama.
Ketua pasukan Tottenham, Harry Kane pula menerima rawatan sebanyak dua kali kerana kecederaan buku lali pada separuh masa pertama dan kemudian digantikan pada separuh masa kedua oleh Jose Mourinho yang menjangkakan penyerang England itu terpaksa diketepikan untuk beberapa minggu.
“Dua kecederaan di kedua-dua buku lali, yang kedua lebih teruk berbanding yang pertama,” Mourinho.
“Terdapat pemain yang tidak ada penggantinya lagi. Apabila itu berlaku, kami perlu menerimanya tetapi saya percaya kami akan terus berjuang.”
Liverpool melalui kempen liga paling buruk sejak 2017, sekali gus menyaksikan kelab itu turun di kedudukan kelima dari tangga pertama sebelum perlawanan bermula dengan Klopp mengakui keutamaannya ketika ini adalah untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pengurus dari Jerman itu kelihatan gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh The Reds di perlawanan semalam.
“Apa yang saya dapat lihat hari ini bukanlah mengenai prestasi tetapi siapa kami sebenarnya. Inilah kami yang sebenar, terutamanya pada separuh masa kedua,” kata Klopp.
“Malam ini kami kembali bangkit, itu bagus. Amat mudah untuk hilang keyakinan tetapi tidak mustahil untuk kembali bangkit semula. Ia bukanlah lampu yang anda boleh hidup atau matikan. Anda perlu tunjukkan kemampuan pada masa yang tepat.”
Kembalinya ke Liga Juara-Juara juga menjadi sasaran Spurs, tetapi peluang Tottenham sekarang mungkin bergantung kepada berapa lama Kane akan diketepikan. – AFP
