The Reds hanya selangkah lagi jadi juara

LIVERPOOL, 25 JUN – Liverpool semakin dekat menuju ke gelaran liga pertama mereka dalam 30 tahun setelah meraih kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace ketika mereka kembali ke Anfield di stadium tertutup pada perlawanan semalam.

Pasukan Jurgen Klopp akan menjadi juara pada Khamis ini sekiranya Manchester City gagal memenangi perlawanan menentang Chelsea atau menanti berdepan City pada aksi seterusnya pada 2 Julai ini. Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah, Fabinho dan Sadio Mane masing-masing menjaringkan gol ketika Liverpool membuka jurang 23 mata di tangga teratas liga.

Sebelum memulakan perlawanan nyanyian lagu ‘You Never Never Walk Alone’ didengarkan di Stadium Anfield yang sepi, tanpa suara yang biasanya didengar daripada 55,000 penonton.

Klopp menurunkan Salah dan Andy Robertson setelah diketepikan pada perlawanan lalu dari keputusan seri 0-0 di Everton. The Eagles tiba di Anfield dengan empat kemenangan berturut-turut di liga, tetapi mereka gagal membuat sebarang ancaman serangan lebih-lebih lagi apabila Wilfried Zaha mengalami kecederaan setelah hanya 15 minit berada di dalam padang.

Ketiadaan Zaha memudahkan lagi tugas Alexander-Arnold menguasai serangan di posisi kanan Liverpool tetapi pemain antarabangsa England itu benar-benar menunjukkan aksi yang mengagumkan. Sepakan percuma Arnold melengkung melepasi penjaga gawang Palace, Wayne Hennessey pada minit ke-23.

Penantian Liverpool untuk meraih gelaran ditangguhkan tiga bulan kerana penutupan COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Penantian itu hanya memerlukan satu kemenangan lagi, sekiranya City kecundang di perlawanan seterusnya.

Namun, tidak diragukan lagi kemarau kejuaraan EPL Liverpool akan berakhir kerana musim ini mereka muncul bermain sebagai juara yang sesuai. – AFP

Pengadil dan para pemain berlutut sebelum memulakan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Crystal Palace di Stadium Anfield, Liverpool, semalam. Liverpool semakin dekat menuju ke gelaran liga pertama mereka setelah meraih kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace. – AP