The Reds kecundang di Anfield

LIVERPOOL, 26 NOV – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa mereka tidak boleh mengeluh setelah terlepas peluang untuk menempah tempat peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara lebih awal apabila tewas di tangan Atalanta 0-2 di Stadium Anfield semalam.

Skuad kendalian Klopp mampu menempah tempat lebih awal di Kumpulan D sekiranya melakarkan kemenangan namun persembahan buruk yang dipamerkan semalam menyebabkan mereka dihukum oleh kelab Itali itu.

Dua gol dalam tempoh empat minit dari Josip Ilicic dan Robin Gosens pada separuh masa kedua membolehkan Atalanta meraih kemenangan yang tidak akan dilupakan sekali gus menamatkan rekod 100 peratus Liverpool dalam kejuaraan tahun ini.

Liverpool sebelum ini telah membelasah Atalanta 5-0 di Itali pada November lalu, melakarkan tiga kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan.

Namun ia adalah kekalahan pertama sejak Virgil van Dijk mengalami kecederaan lutut yang serius di Everton pada Oktober lalu dengan skuad The Reds kini kelihatan resah dalam kekalahan yang jarang berlaku di Anfield.

Aksi pemain pertahanan Atalanta, Robin Gosens ketika menjaringkan golnya dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Stadium Anfield semalam. – AFP

Meskipun tewas kali pertama dalam sembilan perlawanan sejak Van Dijk diketepikan, pasukan Klopp masih mendahului kumpulan Liga Juara-Juara.

“Kekalahan adalah wajar dalam perlawanan yang sukar. Pengadil tidak banyak meniup wisel dan ia menjadikan lebih sukar untuk kedua-dua pasukan. Ia perlawanan sukar dan anda memerlukan rehat,” kata Klopp.

“Apabila separuh masa pertama tamat anda biasanya berpuas hati tapi beberapa pemain tidak dapat bermain dengan baik dan ia memberi tekanan kepada mereka. Kami tidak menemui jalan keluar.”

Jika Liverpool menang, ia membolehkan Klopp merehatkan pemain untuk dua perlawanan terakhir kumpulan di tengah jadual yang sibuk.

Liverpool akan menanti kunjungan Ajax minggu depan sebelum perlawanan terakhir menentang FC Midtjylland.

“Itu bukan permainan yang bagus. Kami tidak mempunyai peluang yang banyak tetapi ia bukan peluang yang nyata,” kata Klopp sambil mengeluh mengenai perlawanan Liverpool menentang Brighton di Liga Perdana Inggeris pada Sabtu ini.” – AFP