MADRID, 2 JUN – Mohamed Salah menjaringkan salah satu gol terpantas dalam final Liga Juara-Juara dan Divorck Origi meledakkan gol lewat ketika Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Madrid awal pagi tadi, sekali gus menjulang trofi itu sebanyak enam kali.
Kurang dua minit perlawanan berlangsung ketika Salah melepaskan rembatan kencang menerusi sepakan penalti selepas Moussa Sissoko dihukum kerana bola terkena tangan dalam petak penalti.
Final terus menghasilkan permainan hebat selepas itu, tetapi Liverpool menyaksikan penjaga golnya Allison Becker menjadi penyelamat selepas menafikan beberapa percubaan di penghujung perlawanan sebelum pemain gantian, Origi melepaskan rembatan leret bagi gol kedua pada minit ke-87.
Gol tersebut mencetuskan kegembiraan besar daripada para penyokong mereka di dalam Stadium Metropolitano, di mana skuad Jurgen Klopp menebuskan kekecewaan final musim lepas apabila tewas kepada Real Madrid dan kekecewaan terlepas peluang menjulang gelaran Liga Perdana kepada Manchester City.
Salah berjaya menebus kekecewaannya selepas cedera menentang Real di Kiev, dan Klopp pula berjaya meraih trofi pertamanya sebagai pengurus Liverpool, tiga setengah tahun sejak ketibaannya di kelab itu. Apa yang menariknya juga adalah pengurus warga Jerman itu akhirnya menamatkan badi enam kali tewas di final.
Kejuaraan itu juga sangat bermakna buat Liverpool kerana ia adalah kejuaraan Eropah keenam mereka, mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara kelab paling dikenali.
Mereka kini mempunyai lebih banyak trofi itu berbanding Barcelona atau Bayern Munich, dan dua kali lebih banyak berbanding seterus kuatnya, Manchester United.
Mungkin final ini terlalu besar buat Tottengam dalam penampilan pertama mereka di final Liga Juara-Juara. Misi menewaskan Liverpool memang satu permintaan yang agak berat, dan mereka kini sudah tewas kesemua tiga pertemuan dengan Liverpool musim ini, hanya menang sekali daripada 15 pertembungan terakhir. – AFP
