Pelakon Dwayne Johnson menyesal menyokong Joe Biden sebagai presiden dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) empat tahun lalu.
Menurut mStar, Dwayne atau The Rock, 51, memberitahu dia tidak lagi akan menyokong presiden AS itu secara terbuka menerusi pertembungan semula Joe dan Donald Trump pada November depan.
“Adakah saya akan melakukannya lagi tahun ini? Jawapannya tidak!” katanya.
Namun Dwayne berkata dia akan menyokong sepenuhnya individu yang dipilih sendiri oleh rakyat negara berkenaan.
Dwayne bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sebab dia berpaling tadah terhadap Joe.
Sebelum ini, Dwayne antara selebriti yang cukup lantang menunjukkan sokongan terhadap Joe malah menyifatkan beliau sebagai manusia berhati mulia.
Dalam pada itu, Dwayne menegaskan dia langsung tidak berminat melibatkan diri dalam arena politik sebaliknya mahu memberi fokus kepada keluarga. “Saya sangat mengambil berat tentang negara saya! Saya bersifat patriotik tapi buat masa ini keinginan dan keutamaan saya adalah anak-anak,” jelasnya. – Agensi