The Royal Bees terima tajaan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Pasukan bola jaring kebangsaan Negara Brunei Darussalam menerima suntikan semangat apabila mendapat tajaan berupa beg sukan Under Armour daripada Borneo Middle East Trading Co (BMETCo), malam ini.

Berkenan berangkat dan seterusnya menerima tajaan di majlis penyerahan yang diadakan di Istana Nurul Izzah, Jerudong itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selaku ketua pasukan bola jaring kebangsaan negara.

Penyerahan tersebut diserahkan oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Negara Brunei Darussalam (BNA), Leftenan Wan Shahlimar binti Haji Suhaili.

Terdahulu pada majlis tersebut, Pengurus BMETCo, Pengiran Haji Emran bin Pengiran Setia Wijaya Pengiran Haji Ahmad telah menyerahkan tajaan beg sukan itu kepada presiden BNA.
Pasukan bola jaring kebangsaan negara yang dikenali sebagai The Royal Bees sebelum ini telah mengadakan latihan termasuk aksi perlawanan persahabatan sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir mereka sebelum menyertai Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila, Filipina nanti.

Pasukan itu yang di bawah kendalian jurulatih Jane Searle akan berentap untuk membaharui pencapaian mereka menentang Thailand pada pembukaan pertandingan 26 November nanti sebelum meneruskan kempen mereka menentang Singapura dan Malaysia, dua pasukan terkemuka yang dilihat berpotensi untuk mara ke peringkat akhir perlawanan tersebut.

Manakala itu, pasukan negara akan menamatkan kempen mereka dalam peringkat kumpulan menentang Filipina pada 29 November nanti.

Perlawanan peringkat separuh akhir akan menyaksikan empat pasukan teratas berentap pada 1 Disember untuk menentukan dua pasukan yang akan mara ke peringkat akhir pada 2 Disember.

Perlawanan bola jaring berkenaan akan mengambil tempat di Santa Rosa, wilayah Laguna, Filipina.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan menerima tajaan bagi Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam daripada Borneo Middle East Trading Co (BMETCo) yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA), Leftenan Wan Shahlimar binti Haji Suhaili pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Izzah, Jerudong. – Gambar oleh Pelita Brunei
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama presiden BNA, wakil pihak penaja dan Pasukan The Royal Bees selepas acara tersebut. – Gambar oleh Pelita Brunei