Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    The show tampil inovasi fesyen lebih mampan

    MALAYSIA – Fesyen sebenarnya sesuatu yang santai dan kreatif dan hal ini dapat dilihat daripada persembahan terbaharu oleh pelajar-pelajar program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Reka Bentuk Fesyen (Kepujian) Universiti Taylor yang berbakat.

    Persembahan tersebut digelar sebagai The Show, Persembahan Mode Fesyen Fusion, sebuah acara yang menampilkan empat koleksi: ‘Geometri organik,’ yang menggabungkan bahan dan warna untuk menghasilkan bentuk dan struktur pakaian; ‘Fesyen bukan konvensional’ di mana seni media campuran digunakan untuk mencipta tekstur; ‘Fesyen berlapis’ di mana tekstil dilapiskan; dan Genderless Morphe, yang berubah menjadi reka bentuk yang boleh bertukar gaya.

    Sebelum persembahan tersebut, pelajar-pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Spatial Interaktif telah diberi peluang untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar teknologi reka bentuk fesyen dan rakan industri Virtualtech Frontier untuk mempersembahkan pertunjukan fesyen di metaverse.

    Timbalan Naib Canselor dan Pegawai Akademik Utama Universiti Taylor, Prof Dr Pradeep Nair, dalam ucapannya berkata bahawa adalah penting untuk memupuk generasi bakat baharu yang dipacu oleh kelestarian dan teknologi kerana merekalah para perancang yang akan mencabar norma-norma fesyen konvensional, membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dan beretika.

    “Di dunia yang maju hari ini, para pereka sedang membayangkan semula teknik-teknik tradisional dan menguji teknologi terkini untuk mencipta fesyen yang mesra alam, memupuk cara yang lebih ekologi dalam penggunaan dan pengeluaran pakaian.

    Gaya mesra alam: Pameran tersebut turut menampilkan 39 ciptaan fesyen yang unik, berkonsepkan kemampanan dan teknologi. – ANN/The Star

    “Kami ingin pelajar-pelajar kami tidak hanya tamat pengajian dengan keupayaan untuk menghasilkan bentuk pakaian unik, tetapi juga mempunyai matlamat, menggunakan teknologi untuk tujuan tersebut,” katanya, menambah bahawa The Show menonjolkan bagaimana universiti telah menggabungkan pembelajaran berasaskan teknologi dan pendekatan berdasarkan impak kepada program ijazahnya untuk mencapai masa depan fesyen yang mampan.

    “Pada hari ini, 36 pelajar pereka fesyen sepanjang empat semester telah memaparkan kemahiran seni yang mereka cipta dengan teliti melalui rangkaian koleksi fesyen kreatif yang menggabungkan seni, fesyen, kemampanan dan teknologi.

    “Ia adalah hasil usaha yang berterusan untuk mencabar norma-norma fesyen konvensional melalui gaya hidup yang melampaui budaya dan batasan geografi,” katanya dalam kenyataan akhbar.

    Menggambarkan pelajar-pelajar ini sebagai didorong inovasi dan kebanggaan program teknologi reka bentuk fesyen yang ditawarkan oleh Sekolah Reka Bentuk Taylor, Prof Pradeep berkata The Show telah disokong oleh beberapa pereka tempatan terkemuka negara ini.

    “Adalah menarik untuk melihat bagaimana industri dan akademik boleh bersatu untuk merangsang kreativiti dan inovasi dalam arena fesyen untuk kebaikan dunia,” katanya.

    Sebelum acara tersebut, sesi pertunjukan dan cerita diadakan di studio fesyen bersama Mayamode untuk mempersembahkan Pod Fesyen 3D pertama di negara itu.

    Teknologi imbasan badan 3D tersebut membantu analisis badan dan ukuran digital yang tepat, meningkatkan kadar pengeluaran, menghapuskan sampel fizikal, mengurangkan kos pembuatan sampel serta mengurangkan pembaziran bahan untuk proses pengeluaran fesyen yang lebih lestari.

    Di samping memperkasakan institusi pendidikan untuk menerapkan teknologi dalam bidang pendidikan, Pod Fesyen 3D akan melengkapkan Kempen Saiz Kebangsaan Malaysia, yang bertujuan untuk mengumpul dan menganalisis pengukuran data badan rakyat Malaysia untuk membangunkan sistem saiz standard kebangsaan pertama yang akan memberi manfaat kepada pengguna tempatan dan industri pakaian. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda