Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    The Youth, Kalkulated Viktory/Solve menang pembiayaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Pasukan The Youth muncul sebagai juara Program i-Usahawan Startup673 Fasa 1 – MOH Edition manakala pasukan Kalkulated Viktory/Solve mendapat tempat kedua di mana para pemenang diraikan pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Khalifah bin Pengiran Haji Mohd Ismail; Pengurus Korporat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Jaafar bin Haji Awang Bakar; Pengarah Pembangunan Perusahaan Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Norlela Suhailee; Timbalan Ketua Eksekutif AITI, Dayang Julianah binti Haji Ahmad; In-Country Value Lead BSP, Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh; Pengerusi Makmal Inovasi Brunei (BIL), ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Seramai 60 orang perantis i-Ready dari Kementerian Kesihatan menyertai Program Startup673 merangkumi Fasa 1 bagi Projek Hackathon yang telah bermula pada 19 Februari dan diadakan selama dua minggu.

    Program itu memberi peluang kepada para peserta untuk menjadi lebih kreatif dan meneroka kerja dalam bidang teknologi dan inovasi, sambil memupuk kemahiran teknikal mereka.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan hadiah kepada Pasukan The Youth (kanan) dan Pasukan Kalkulated Viktory/Solve (kiri). – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Cabaran yang diketengahkan dalam program berkenaan memberi penekanan kepada cabaran healthcare-oriented dan berfikiran minda keusahawanan.

    Setiap pasukan menumpukan perhatian untuk menangani tujuh kenyataan cabaran pilihan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, termasuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, memajukan pendigitalan, meningkatkan pengurusan aset, mengoptimumkan latihan Basic Life Support (BLS), meningkatkan kebajikan kakitangan, memperkemas tindak balas bagi kes kecemasan, dan memperhalusi logistik untuk makmal pergigian.

    Dalam program itu, The Youth muncul juara dengan projek Medical Training Hub yang berkaitan dengan pangkalan data berpusat bagi pusat-pusat latihan sedia ada bagi menyediakan kursus latihan berkaitan kesihatan.

    Manakala itu, pasukan Kalkulated Viktory / Solve mengetengahkan projek One Stop Fix iaitu platform inventori untuk pengurusan alat ganti, termasuk perkhidmatan pembaikan dalaman dengan menggunakan komponen boleh guna semula dan inventori yang mempamerkan bahagian yang tersedia.

    Sokongan kewangan itu bertujuan untuk membolehkan pasukan-pasukan berkenaan mengembangkan dan memperhalusi prototaip mereka ke tahap implementasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda