Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pengedar peralatan dapur, Thermomix Brunei True Mix (B) Sdn Bhd hari ini melancarkan buku resipi masakan menggunakan peralatan Thermomix yang menumpukan masakan tradisi Melayu, yang pertama seumpamanya di dunia.
Hadir menyempurnakan pelancaran buku bertajuk ‘The Malay Kitchen for Thermomix’ itu ialah mantan Yang Di-Pertua BISTARI, Datin Hajah Edah binti Haji Mohd Noor dan isteri Duta Besar Republik Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Maria Renee Juan-Wolf di Pejabat Thermomix Brunei, Lambak Kanan. Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Urusan Thermomix Brunei, JH Lim.
JH Lim dalam ucapan alu-aluannya selepas perasmian buku tersebut, mengatakan buku itu memperkenalkan pelbagai hidangan masakan Melayu bagi komuniti Thermomix di seluruh dunia dan merupakan kolaborasi pertama bersama penulis buku, Suriya Abdullah dari Malaysia.

Menurutnya, penulis buku itu membesar dengan hidangan tradisi Melayu dan pada tahun 2014, mula berjinak-jinak dengan peralatan dapur Thermomix dalam penyediaan hidangannya.
“Pengguna seluruh dunia dapat memasak makanan tradisi Melayu melalui buku tersebut yang bukan sahaja menyediakan resipi bertulis, malahan disertakan dengan gambar serta panduan penggunaan pelbagai rempah, herba dan bahan-bahannya,” tambah JH Lim.
Pada majlis pelancaran itu, Suriya turut mengadakan demonstrasi beberapa masakan Melayu menggunakan resipi dan peralatan Thermomix sambil berinteraksi dengan para jemputan.