LONDON, 28 FEB – Chelsea mendedahkan hari ini pemain pertahanan tengah Brazil, Thiago Silva mengalami kecedaraan ligamen lutut semasa kekalahan 2-0 Liga Perdana kepada Tottenham pada hujung minggu.
Silva, 38, terpaksa meninggalkan padang pada separuh masa pertama semasa kekalahan The Blues.
Chelsea tidak menyatakan berapa lama bekas pemain pertahanan Paris Saint-Germain dan AC Milan itu akan diketepikan, tetapi ketiadaannya adalah satu lagi tamparan buat pengurus Graham Potter yang di bawah tekanan kerana hanya memperoleh dua kemenangan daripada 15 perlawanan terakhir kelab dalam semua pertandingan.
“Keputusan imbasan telah mengesahkan ligamen lutut Thiago terkoyak dan dia kini akan bekerjasama rapat dengan jabatan perubatan kelab untuk proses pemulihan sebelum kembali beraksi secepat mungkin,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Silva hanya terlepas tiga perlawanan Liga Perdana Chelsea musim ini.
Juara Eropah 2021 itu telah membelanjakan setengah bilion pound untuk pemain baharu sejak diambil alih oleh kumpulan yang diketuai oleh Todd Boehly dari Amerika, termasuk menandatangani pemain bek tengah, Kalidou Koulibaly dari Napoli dan Benoit Badiashile dari Monaco. – AFP