PARIS, 2 JUN – Bintang Austria, Dominic Thiem naik angin selepas diarah keluar dari sidang medianya sendiri agar Serena Williams, yang tewas, dapat menggunakan bilik itu.
Thiem, pemain pilihan keempat dalam acara lelaki dan pemenang kedua 2018, mengadakan sidang selepas perlawanan selepas mara ke pusingan 16 terbaik.
Bagaimanapun, dia kemudian dimaklumkan bahawa bilik utama itu dimahukan oleh bintang Amerika, Williams, yang baharu sahaja mengalami kekalahan pada pusingan ketiga kepada Sofia Kenin.
Ia merupakan penyingkiran terawal pemenang gelaran Grand Slam sebanyak 23 kali itu di Slam dalam tempoh hampir lima tahun dan dia tidak sabar-sabar untuk menjauhkan diri dari tempat kejohanan itu secepat mungkin.
“Ia kelakar,” kata Thiem, 25, kepada pegawai media selepas diberitahu dia perlu menghabiskan temu bual dalam bilik yang lebih kecil.
“Saya terpaksa meninggalkan bilik ini kerana dia datang. Saya tidak peduli, saya juga boleh melakukan apa yang saya mahu.” – AFP
