CORDOBA, ARGENTINA, 1 FEB – Pemain Austria, Dominic Thiem telah menarik diri daripada rancangannya untuk membuat kemunculan semulan dari kecederaan di Terbuka Cordoba kelmarin kerana kecederaan di tangannya di antara buku jarinya.
Juara Terbuka AS 2020 itu, yang telah tidak bermain selama lebih tujuh bulan kerana kecederaan pergelangan tangan, berharap untuk membuat kemunculan semula di Argentina minggu ini.
“Saya sangat minta maaf tetapi saya perlu mengumumkan bahawa saya akan menarik diri daripada ATP di Cordoba,” kata Thiem dalam video yang disiarkan di laman sosial Twitter menjelang kejohanan itu.
“Pada hari-hari terakhir saya mengalami kecederaan kecil di antara buku jari saya, sedikit ketegangan ligamen saya.
“Perkara positif, pergelangan tangan saya baik-baik sahaja tetapi saya mengalami kesakitan di tangan saya dan juga kekurangan latihan. Jadi saya perlu menarik diri, saya sangat sedih tetapi saya akan kembali apabila saya 100 peratus bersedia.”
Thiem, yang mara ke final Terbuka Australia 2020, berkata pada Disember lalu pergelangan tangannya “dalam keadaan optimum” membolehkan dia berlatih “biasa dengan intensiti yang sangat baik”.
Pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat mempertahankan kejuaraan Terbuka AS tahun lalu dan juga menolak kepulangannya yang dijangkakan sehingga selepas Terbuka Australia yang selesai hujung minggu lalu.
Naib juara dua kali Terbuka Perancis, pemain Austria itu menyaksikan rankingnya menjunam daripada pemain nombor tiga dunia tertinggi dalam kerjaya Mac lalu, kepada 37 dalam ranking ATP terkini. – AFP
