Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thiem mara ke pusingan ketiga

    PARIS, 1 Nov – Pemain pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem (gambar) mara ke pusingan 16 terakhir Paris Masters dengan kemenangan 6-4, 6-7 (3/7), 6-4 ke atas pemain kurang terkenal dari Jerman, Peter Gojowczyk.

    Thiem, 24, yang layak ke separuh akhir Terbuka Perancis dalam dua tahun terakhir, terpaksa bekerja keras di ibu negara Perancis itu sebelum menempah tempat ke pusingan ketiga menentang sama ada Fernando Verdasco atau Kevin Anderson.

    Pablo Carreno Busta, yang layak ke separuh akhir Terbuka AS, kecundang 4-6, 1-6 kepada pemain wildcard tuan rumah, Nicolas Mahut, sekali gus menyukarkannya layak ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia.

    Pemain Sepanyol itu kini menduduki tangga kelapan dan tempat terakhir bagi kejohanan penamat musim di London, namun kekalahannya itu memberikan harapan kepada beberapa pemain lain termasuk Anderson dan Juan Martin del Potro.

    Pemain Argentina, Del Potro berdepan Joao Sousa pada pusingan kedua hari ini dengan bekas juara Terbuka AS itu perlu layak ke separuh akhir kelima berturut-turut untuk mengatasi Carreno Busta.

    Anderson dari Afrika Selatan, yang tewas pada final kepada Rafael Nadal di Flushing Meadows, perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir untuk menghidupkan peluangnya.

    Namun, harapan Sam Querrey layak ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia berakhir selepas pemain Amerika Syarikat itu kalah 4-6, 4-6 di tangan pemain Serbia, Filip Krajinovic.

    Nadal akan memastikan penamat nombor satu dunia dalam ranking tahun ini jika menang pada pusingan kedua menentang pemain Korea Selatan, Hyeon Chung di Bercy, hari ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda