INDIAN WELLS, 18 Mac – Dominic Thiem menafikan kemaraan Roger Federer untuk merekodkan gelaran keenam Indian Wells, apabila menewaskan lawannya dengan 3-6, 6-3, 7-5 hari ini bagi merangkul kemahkotaan ATP Masters yang pertama buat dirinya.
Pemain Austria berumur 25 tahun yang menduduki ranking kelapan dunia itu tewas pada dua final di Madrid.
Ia adalah kemenangan ketiga dalam kariernya ke atas Federer dalam lima pertemuan, tetapi kali pertama di gelanggang keras.
Thiem berjaya mendapatkan mata penting pada permainan ke-11 di set terakhir, melakukan dua pukulan tepat bagi membantu dirinya memperoleh break points untuk kemenangannya.
Dia mencatat kemenangan dalam tempoh dua jam 20 minit manakala Federer tewas buat tahun kedua berturut-turut di peringkat akhir Indian Wells.

Tahun lalu, jaguh Switzerland itu tewas kepada pemain Argentina, Juan Martin del Potro. Federer yang baru sahaja merangkul gelaran ke-100 dalam kariernya di Dubai, kekal dengan lima gelaran di Indian Wells bersama Novak Djokovic.
“Saya rasa saya tidak berhak untuk mengucapkan tahniah kepada anda, anda mempunyai lebih 88 lebih gelaran daripada saya,” kata Thiem kepada Federer ketika menerima trofi.
Thiem adalah pemain Austria pertama memenangi gelaran Masters 1000 sejak Thomas Muster merangkulnya pada tahun 1997 di Miami.
Dalam perlawanan tersebut, dia berdepan tekanan pada awal perlawanan, dan berjaya meraih tiga break points sebelum tunduk pada aksi keempat dalam perlawanan kedua apabila Federer berada di depan dengan 3-0.
“Ia merupakan minggu yang hebat untuk saya meskipun ia tidak berhasil,” kata Federer. “Tahniah kepada Dominic, minggu terbaik, aksi terbaik. Anda layak.” – AFP