Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thinaah akui perlu perbaiki kelemahan fizikal bersama Pearly

    KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Pemain beregu wanita Malaysia, M. Thinaah mengakui beliau dan pasangannya Pearly Tan perlu menambah baik banyak perkara, terutama dari aspek fizikal ekoran kekecewaan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2024 minggu lepas.

    Dia bekata kecederaan Pearly dan keletihan melampau bukanlah alasan bagi mereka terlepas gelaran pertama musim ini, sebaliknya dia merasakan mereka perlu meningkatkan kecergasan untuk menampilkan persembahan lebih baik pada kejohanan akan datang.

    “Kami kalah di Terbuka Korea bukan sebab kecederaan Pearly, pemain Korea membuat persiapan rapi untuk menentang kami. Mereka melakukan tugas dengan baik, jadi perlu diberikan kredit kepada mereka. Bagi pihak kami, kami perlu perbaiki kelemahan dan terus bergerak ke hadapan.

    “Saya rasa sudah tentu kami perlu menambah baik aspek fizikal meskipun ia bukan tugas mudah, tetapi kami akan melakukan yang terbaik. Saya tidak menyalahkan faktor keletihan sebagai punca kekalahan kami. Saya kecewa apabila laporan berita mendakwa kami menyalahkan faktor keletihan sebagai punca kekalahan kami, ia tidak betul sebab alasan itu bukan saya yang bagi,” katanya.

    Dia berkata demikian pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

    Reaksi Thinaah dan Pearly dalam perlawanan pingat gangsa badminton beregu wanita menentang Jepun semasa Sukan Olimpik Paris 2024 pada 3 Ogos lalu. – AFP

    Pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2024 minggu lepas, Pearly terpaksa meminta rawatan selepas tergelincir di gelanggang pada set pertama aksi final.

    Gandingan itu bagaimanapun meneruskan permainan sebelum tewas di tangan wakil tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 12-21, 11-21.

    Sementara itu Thinaah berkata dia memilih untuk meneruskan momentum positif yang diambil dari aksi minggu lepas untuk dibawa ke kejohanan akan datang.

    “Kami masih menilai perkara itu (mata penting) dan kami bertambah baik, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

    “Saya rasa kami bersedia untuk Terbuka Hong Kong minggu depan, kami hanya perlu menikmati permainan dan mengekalkan momentum positif,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda