HONG KONG, 29 JULAI – Pengurus baharu Tottenham, Thomas Frank, hari ini mengakui perlawanan pramusim menentang Arsenal di Hong Kong akan menjadi ‘cabaran besar’ pertamanya sejak mengambil alih pasukan itu, dan memberi amaran bahawa ia akan menjadi ‘lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan’.
Dua seteru ketat itu akan bertemu pada Khamis dalam Derbi Utara London pertama yang diadakan di luar tanah Britain.
“Ia adalah satu cabaran besar,” kata jurulatih dari Denmark itu kepada para wartawan di Stadium Kai Tak yang berkapasiti 50,000 tempat duduk di Hong Kong, yang telah pun terjual habis untuk perlawanan itu.
“Selain daripada menjadi seteru besar kami, dan ini menjadi Derbi Utara London pertama di luar United Kingdom (UK), mereka juga, saya harus katakan dengan berat hati, adalah salah satu pasukan terbaik di dunia ketika ini,” katanya sambil tersenyum.
“Menentang Arsenal bukan sekadar perlawanan persahabatan dan kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk menang.” Frank mengambil alih tugasan bulan lalu daripada Ange Postecoglou, yang dipecat walaupun berjaya membawa Spurs menjulang kejuaraan Liga Europa dan menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun.

Tottenham telah menandatangani pemain tengah menyerang, Mohammed Kudus dari West Ham dengan harga AS$74 juta, tetapi usaha mereka untuk mendapatkan Morgan Gibbs-White dari Nottingham Forest masih belum berjaya.
Frank berkata dia dan kelab ‘sentiasa berbincang mengenai perpindahan pemain’ namun menambah, ‘itu adalah sesuatu yang saya ingin kekalkan secara peribadi’.
“Secara umum, saya gembira dengan skuad yang ada. Kami sedar di bahagian mana kami mungkin mahu perkuatkan lagi,” katanya.
“Mohammed sudah menunjukkan kualitinya. Tapi, tentunya, kami masih memantau.”
Salah satu masalah utama Tottenham musim lalu – apabila mereka menamatkan saingan di tangga ke-17 Liga Perdana – adalah senarai kecederaan yang panjang.
Salah seorang tonggak utama yang terlepas sebahagian besar musim ialah pertahanan tengah Belanda, Micky van de Ven. Namun Van de Ven kini yakin masalah kecederaannya sudah berakhir selepas menjalani musim panas pertama tanpa gangguan bersama Spurs.
“Saya belum pernah ada pramusim bersama Tottenham sebelum ini,” kata Van de Ven kepada AFP, yang menyertai kelab lewat dalam jendela perpindahan 2023 dan kemudian bermain dalam Euro tahun lalu. – AFP

