Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thompson umum bersara akhir tahun ini

    LANCASTER, 30 MEI – Lexi Thompson, pemain golf terkenal dalam Jelajah LPGA, mengumumkan tahun ini akan menjadi tahun terakhirnya bermain sepenuh masa.

    Thompson membuat pengumuman tersebut semasa Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS), kejohanan utama yang pertama kali disertainya ketika berusia 12 tahun.

    Pada usia 29 tahun, Thompson menyatakan dia akan berundur pada akhir tahun ini.

    Dengan penuh emosi, Thompson berkongsi mengenai cabaran besar yang tidak diketahui oleh orang ramai dan kesepian yang dialami sepanjang kariernya.

    Thompson telah mempertimbangkan untuk bersara separa masa selama beberapa tahun kebelakangan ini dan menyatakan kesihatan mental sebagai salah satu faktor utama yang mendorong keputusannya itu.

    “Kita semua mempunyai perjuangan masing-masing, terutamanya di sini,” kata Thompson.

    “Dalam golf, kita lebih banyak kalah daripada menang, jadi ini adalah perjuangan berterusan untuk terus tampil di hadapan kamera, bekerja keras, dan mungkin tidak melihat hasil yang diinginkan serta menerima kritikan. Jadi, ia sangat sukar,” jelasnya.

    Thompson kini bermain dalam Terbuka Wanita AS yang ke-18 sebelum usianya mencecah 30 tahun. Dia memenangi gelaran LPGA pertamanya pada usia 16 tahun dan terkenal dengan kemenangan besar di Kejuaraan Kraft Nabisco pada tahun 2014 ketika berusia 19 tahun. – AP

    Aksi Thompson semasa latihan untuk kejohanan golf Terbuka Wanita AS di Lancaster Country Club. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda