Sunday, February 23, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thor Ragnarok kembali hangatkan pawagam

    FILEM aksi Thor:Ragnarok keluaran Disney dan Marvel berjaya mendominasi carta Box Office dengan jumlah kutipan sebanyak AS$121 juta setelah ditayangkan di 4,080 pawagam sekaligus menjadikan filem keempat yang berjaya mendapat kutipan tertinggi bagi tahun 2017.

    Kehadiran siri ketiga dalam francais filem Thor itu seolah-olah berjaya mengembalikan semula semarak kemalapan sambutan terhadap filem yang ditayangkan di sepanjang Oktober lalu.

    Antara beberapa filem lain yang berjaya mengumpulkan kutipan yang cemerlang di sepanjang tahun 2017 adalah Beauty and the Beast dengan kutipan setinggi AS$174.8 juta, Guardians of the Galaxy Vol. 2 dengan kutipan sebanyak AS$146.5 juta dan It dengan jumlah kutipan sebanyak AS$123.4 juta.

    Penganalisis Media Kanan di comScore, Paul Dergarabedian menjelaskan bahawa bulan November sememangnya menjadi pilihan bagi kebanyakan filem blockbuster ditayangkan di mana antaranya adalah seperti Harry Potter, The Hunger Games Twilight dan James Bond.

    Kini, Thor Ragnarok pula turut disenaraikan antara filem yang turut berjaya mendapat kutipan setinggi AS$100 juta dan berjaya menghangatkan kembali suasana di pawagam.

    Chris Hemsworth kembali melakonkan watak Thor dalam filem Thor: Ragnarok.
    A Bad Moms Christmas kembali mengisahkan mengenai kehidupan tiga orang ibu menjelang sambutan Krismas.
    Antara babak mendebarkan yang ditonjolkan dalam filem Jigsaw.

    Kutipan yang berjaya diperolehi oleh Thor:Ragnarok itu jelas berjaya menepati apa yang telah disasarkan malah ia juga turut berjaya mendapat sambutan melalui tayangan dari skrin 3D, Imax dan sebagainya.

    Siri ketiga dalam filem yang dibintangi oleh Chris Hemsworth itu dilihat berjaya mendahului dua siri filem terdahulunya di mana Thor yang ditayangkan pada tahun 2011 berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$65.7 juta dan Thor:The Dark World yang ditayangkan pada tahun 2013 pula berjaya mendapatkan kutipan sebanyak AS$85.7 juta.

    Thor:Ragnarok yang diarahkan oleh Taika Waititi dan skripnya ditulis oleh Craig Kyle dan Christopher Yost ini turut dibintangi oleh Tom Hiddleston, Cate Blanchett, Idris Elba, Jeff Goldblum, Tessa Thompson, Karl Urban, Mark Ruffalo dan Anthony Hopkins.

    Di peringkat global pula, Thor:Ragnarok telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$306 juta ketika ia mula ditayangkan pada minggu lalu termasuk AS$55 juta dari pasaran China.

    Sementara sekuel kepada filem Bad Moms yang ditayangkan pada tahun lalu, A Bad Moms Christmas pula menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$17 juta setelah ditayangkan di 3,615 pawagam.

    Filem keluaran STXfilms itu menelan kos pembikinan sebanyak AS$28 juta yang membariskan pelakon berbakat hebat seperti Mila Kunis, Kristen Bell dan Kathryn Hahn yang kembali melakonkan watak ibu yang memiliki pendirian yang tersendiri.

    Antara adegan komedi yang ditonjolkan dalam filem Tyler Perry’s Boo2! A Madea Halloween.
    Kehidupan manusia yang jelas berada dalam keadaan huru-hara setelah bumi dilanda bencana dalam Geostorm.

    Juara minggu lalu, Jigsaw pula harus akur untuk menduduki tangga ketiga dalam carta setelah kutipan yang dikumpulkan adalah sebanyak AS$6.7 juta setelah ditayangkan di 2,941 pawagam.

    Walaupun filem seram itu menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus berbanding minggu lalu namun ternyata filem itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$28.8 juta.

    Manakala, Tyler Perry Boo 2! A Madea Halloween pula menduduki tangga keempat dalam carta dengan jumlah kutipan sebanyak AS$4.7 juta setelah ditayangkan di 2,202 pawagam.

    Geostorm keluaran Warner Bros pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$3 juta setelah ditayangkan di 2,666 pawagam.

    Secara purata, kutipan keseluruhan yang dikumpulkan oleh filem itu berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$28.8 juta dan ia adalah sesuatu yang agak mengecewakan.

    Justeru, kutipan di pasaran global yang mencecah sehingga AS$153.6 juta jelas menjadi harapan kepada Warner Bros untuk mengembalikan semula kos pelaburan untuk merealisasikan filem tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda