Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Sebuah lagi kedai makan, Restoran Three Lights hari ini telah diiktiraf oleh Pusat Promosi Kesihatan sebagai sebuah restoran yang menyajikan makanan-makanan sihat.
Pengiktirafan itu adalah salah satu usaha Kementerian Kesihatan melalui pusat tersebut untuk melaksanakan Program Restoran Sihat dengan meningkatkan kesedaran terhadap pemilihan pemakanan sihat dan mewujudkan persekitaran pasaran tempatan yang kondusif untuk menyokong pilihan makanan yang sihat. Hadir menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Restoran Three Lights itu ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim yang diteruskan dengan Majlis Pelancaran Program Restoran Sihat.
Dengan pelancaran program tersebut, ianya diharap akan dapat memberi dorongan kepada restoran-restoran lain untuk ikut serta dalam program berkenaan terutama sekali kepada kedai-kedai minuman sekali gus menjadi rakan kongsi utama dalam menyokong inisiatif pemakanan sihat serta membantu pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.
Sementara itu makanan atau minuman yang dianggap sebagai produk sihat akan diberi label dengan logo Healthier Choice pada menu-menu mereka.

