STOCKHOLM, 30 OKT – Aktivis iklim Sweden Greta Thunberg semalam enggan menerima anugerah alam sekitar, berkata gerakan iklim memerlukan orang berpengaruh ‘mendengar’ kepada ‘sains’ dan bukannya anugerah.
Aktivis iklim muda itu, yang telah mendapatkan sokongan berjuta-juta orang untuk menyertai gerakan ‘Fridays for Future’, diberi penghormatan pada satu majlis Stockholm yang dianjurkan oleh Majlis Nordic, badan serantau untuk kerjasama antara parlimen.
Thunberg telah dipilih atas usahanya oleh Sweden dan Norway dan memenangi hadiah alam sekitar tahunan pertubuhan itu.
Namun selepas ia diumumkan, seorang wakil untuk beliau memberitahu hadirin bahawa beliau enggan menerima anugerah atau hadiah wang berjumlah 350,000 kroner, lapor agensi berita TT.
Beliau menyiarkan keputusan dalam satu pos di Instagram dari Amerika Syarikat.
“Gerakan iklim tidak memerlukan sebarang anugerah,” tulis beliau.
“Apa yang kami perlukan adalah ahli politik dan tokoh berpengaruh lain supaya mendengar kepada sains yang ada sekarang.”
Sementara mengucapkan terima kasih kepada Majlis Nordic atas ‘penghormatan besar itu,’ beliau juga mengkritik negara-negara Nordic kerana tidak memenuhi ‘reputasi hebat’ mereka mengenai isu iklim.
Hanya berusia 16 tahun, Thunberg menjadi popular selepas beliau mula menghabiskan hari Jumaat di luar parlimen Sweden pada Ogos 2018, memegang sepanduk berbunyi ‘Mogok sekolah demi iklim.’ – AFP