Thuram berlutut tunjuk perasaan atas kematian George Floyd

BERLIN, 1 JUN – Borussia Moenchengladbach mengalahkan Union Berlin 4-1 pada perlawanan semalam di stadium tertutup dengan penyerang dari Perancis, Marcus Thuram menjaringkan dua gol dan meraikan dengan berlutut sebagai protes atas kematian seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di Amerika Syarikat (AS).

Jaringan pada separuh masa pertama oleh pemain tengah Florian Neuhaus, merupakan jaringan ke-3,000 buat Gladbach di Bundesliga dan Thuram meletakkan Gladbach di depan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama perlawanan.

Penyerang Sweden dari Union, Sebastian Andersson, berjaya menemui jaringan pada awal babak kedua perlawanan. Namun, Gladbach kembali bangkit ketika Thuram menambah jaringan dengan gol keduanya setelah berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan Union.

Penyerang Perancis berusia 22 tahun itu kemudian berlutut di padang Borussia Park, mengikut jejak bintang NFL, Colin Kaepernick.

Ini adalah cara tunjuk perasaan terbaharu di Bundesliga yang menyertai tunjuk perasaan di seluruh AS membela George Floyd.

Reaksi Marcus Thuram setelah menjaringkan gol semasa perlawanan Bundesliga divisyen pertama Jerman antara Borussia Moenchengladbach dan Union Berlin di Moenchengladbach, Jerman, semalam. – AFP

Pemain tengah Schalke dari AS, Weston McKennie memakai gelang lengan dalam kekalahan pasukannya dengan tulisan “Justice for George”.

George Floyd, 46, meninggal dunia di Minneapolis dalam penangkapan oleh seorang pegawai polis yang menjepitnya ke tanah selama beberapa minit dengan berlutut di lehernya. Selepas kekalahan 3-1 kepada Leverkusen pada hujung minggu lalu, dan seri tanpa jaringan dengan Werder Bremen yang bergelut di kedudukan bawah liga pada hari Selasa lalu, ini adalah kemenangan penting bagi Gladbach.

Gladbach naik ke tangga ketiga dalam liga, tetapi RB Leipzig dapat merampas kembali kedudukan mereka jika mereka menang di Cologne malam ini.

Juara bertahan Bayern Munich membuka jurang kedudukan dengan 10 mata selepas berjaya mengalahkan Fortuna Duesseldorf 5-0 dengan penjaring terbanyak liga Robert Lewandowski menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut.

Kelmarin, Borussia Dortmund yang berada di kedudukan kedua merapatkan kembali kedudukan dengan Bayern setelah menang menentang Paderborn. – AFP