LAUSANNE, 23 OKT – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan pertubuhan sukan global berhenti adakan acara di Indonesia selepas negara itu melarang penyertaan atlet Israel daripada sertai kejohanan gimnastik dunia yang sedang berlangsung di Jakarta.
Lembaga eksekutif IOC mengeluarkan kenyataan kelmarin mengatakan ia juga menamatkan ‘sebarang bentuk dialog’ dengan Indonesia mengenai acara Olimpik pada masa hadapan.
Seorang pegawai kerajaan Indonesia mengisytiharkan awal bulan ini bahawa atlet Israel akan dinafikan visa untuk sertai kejohanan gimnastik dunia, yang bermula Ahad lalu.
Israel adalah antara 86 pasukan yang didaftarkan untuk bertanding dan pernah menangi pingat emas Olimpik 2020 .
“Tindakan ini menafikan hak atlet untuk bersaing secara aman dan menghalang pergerakan Olimpik daripada mempamerkan semangat kesukanan,” kata lembaga eksekutif IOC.
Indonesia selaku negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia, telah lama menjadi penyokong tegar rakyat Palestin. Penyertaan atlet Israel ke acara tersebut telah mencetuskan tentangan hebat dalam negara itu.
Lembaga eksekutif IOC telah bermesyuarat dari jauh untuk membincangkan lebih lanjut keadaan di Indonesia, dan juga, ‘isu global yang berulang mengenai akses atlet ke pertandingan antarabangsa.”
IOC berkata “semua atlet, pasukan dan pegawai sukan yang layak mesti boleh setai pertandingan dan acara sukan antarabangsa tanpa sebarang bentuk diskriminasi oleh negara tuan rumah.” Ia menambah bahawa prinsip asas yang mengawal pergerakan Olimpik termasuk, “tanpa diskriminasi, autonomi dan berkecuali dalam politik.”
Ia turut berkata akan hentikan dialog dengan Indonesia mengenai penganjuran Sukan Olimpik, Sukan Olimpik Remaja, acara dan persidangan Olimpik sehingga kerajaan memberi, “jaminan yang mencukupi” bahawa semua peserta akan diberikan akses ke negara itu tanpa mengira kewarganegaraan.
Selain itu, IOC akan mengesyorkan pertubuhan sukan antarabangsa supaya tidak mengadakan kejohanan, acara atau mesyuarat di Indonesia sehingga jaminan itu diberikan.
Jawatankuasa Olimpik Indonesia telah dijemput ke ibu pejabat IOC di Lausanne, Switzerland untuk membincangkan isu tersebut. – AP


