Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tiada AP import bahan makanan

    PUTRAJAYA, 18 MEI – Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini, bagi memastikan bekalan makanan negara Malaysia mencukupi.

    “Ini akan membolehkan semua pihak untuk mengimport sebarang bahan makanan ke negara ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini, hari ini.

    Katanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengumumkan butiran lanjut berhubung AP untuk import bahan makanan itu. “Dulu ada AP daging dan lembu, mulai hari ini tidak ada lagi dan sesiapa sahaja boleh import apa sahaja bahan makanan dari negara luar untuk pastikan cukup bekalan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Malaysia mungkin mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, wabak COVID dan konflik antara Rusia dan Ukraine berlarutan.

    Setiap tahun Malaysia merekodkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas, dengan barangan seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus) dan sayur kubis bulat (60 peratus).

    Ismail Sabri berkata beliau juga telah mengarahkan MAFI untuk menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak berlakunya krisis makanan di negara ini susulan isu seperti konflik Rusia dan Ukraine.

    “Kita tahu seluruh dunia bimbang, bukan kita sahaja bimbang dengan kesan perang yang sebabkan kekurangan dari segi bekalan makanan. MAFI juga diminta mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

    Fenomena akibat konflik Rusia-Ukraine memberi kesan kepada seluruh dunia apabila inflasi pelbagai negara terus meningkat. – Bernama

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...