MADRID, 15 Feb – Neymar berkeras menekankan bahawa Paris Saint-Germain (PSG) masih mampu layak ke suku akhir Liga Juara-Juara walaupun tewas 3-1 di tangan Real Madrid pada pertemuan pertama kelompok 16 terakhir.
“Analisis saya ialah kami melakukan kesilapan pada saat-saat tertentu. Kami tidak cukup matang di akhir permainan,” kata pemain termahal dunia itu kepada media Brazil selepas PSG mensia-siakan kelebihan satu gol di Santiago Bernabeu.
Adrien Rabiot meletakkan kelab Perancis itu di depan, tetapi dua jaringan Cristiano Ronaldo dan satu daripada Marcelo memberi kelebihan buat tuan rumah.
“Kami tidak bermain dengan teruk, tetapi saya rasa kami perlu beraksi lebih baik jika kami mahu menyingkirkan Real Madrid,” kata Neymar.
Neymar sebelum ini berada dalam skuad Barcelona yang tewas 4-0 kepada PSG di tempat lawan pada pertemuan pertama kelompok 16 terakhir musim lalu, sebelum bangkit mencatat kemenangan 6-1 pada aksi timbal balik.
Berkenaan peluang PSG menewaskan Real pada aksi kedua 6 Mac nanti Neymar berkata: “Saya rasa ia sukar, tetapi tiada apa yang mustahil.
“Tahun lalu saya berada dalam situasi lebih buruk dan kami berjaya melepasinya. Saya harap kami mampu bermain lebih baik.” – AFP