TEHRAN, 8 NOV – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan bahawa siapa pun yang memenangi Pilihan Raya Presiden di Amerika Syarikat tidak akan membawa perbezaan kepada Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam, IRNA.
Pezeshkian berkata demikian di Tehran kelmarin, dengan menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Presiden AS tidak membawa perbezaan kepada Iran.
Rakyat Iran bergantung kepada kekuatan dalaman mereka, katanya sambil memuji rakyat yang mempunyai harga diri.
Iran tidak mempunyai pandangan yang terbatas dalam mengembangkan hubungan dengan negara-negara lain, katanya.
Pengembangan hubungan dengan negara-negara Islam dan jiran merupakan salah satu keutamaan tertinggi Iran.
Presiden turut menyeru pembentukan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan negara-negara Islam. Jika semua negara dalam dunia Islam bersatu sebagai saudara, Kerajaan Israel tidak akan berani melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin dan Lubnan yang tertindas, tegasnya. – Bernama