Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Berdasarkan penilaian yang teliti terhadap data saintifik yang tersedia dan terkini, Pihak Berkuasa Kawalan Ubat, Negara Brunei Darussalam (PBKUNBD) dan juga pihak berkuasa kawalan ubat antarabangsa yang lain seperti Medicines and Healthcare Products Regulatory Agency (MHRA, UK), Therapeutic Goods Administration, Department of Health, Disability and Ageing (TGA, Australia) dan European Medicines Agency (EMA, EU) menemui tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan pengambilan ubat paracetamol semasa mengandung boleh menyebabkan autisme atau ADHD dalam kalangan kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataannya, hari ini, susulan berita daripada media luar negara mengenai penggunaan ubat paracetamol (acetaminophen) yang dikaitkan dengan risiko autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dalam kalangan kanak-kanak.
Paracetamol masih lagi merupakan rawatan pilihan yang disyorkan untuk melegakan sakit atau demam bagi ibu-ibu mengandung apabila digunakan mengikut arahan. Tanpa rawatan, ia boleh membawa risiko kesihatan kepada ibu dan anak damit dalam kandungan.
Dalam hal itu, wanita yang sedang mengandung atau merancang untuk mengandung, dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor atau ahli profesional penjagaan kesihatan mereka terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan mengenai pengambilan ubat semasa mengandung.
PBKUNBD bertanggungjawab memastikan keselamatan, kualiti dan keberkesanan ubat-ubatan yang dipasarkan di Negara Brunei Darussalam, di mana bukti keselamatan pengambilan ubat semasa mengandung juga menjadi salah satu pertimbangan utama bagi produk ubat yang didaftarkan di bawah PBKUNBD.
Sepertimana semua ubat, Kementerian Kesihatan akan terus memantau keselamatan ubat-ubatan termasuk ubat paracetamol dan sebarang bukti baharu yang timbul dan menjejaskan saranan awal akan dinilai semula dengan teliti. Tindakan yang sewajarnya akan diambil, jika perlu demi melindungi kesihatan awam.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi Talian Darussalam 123.


