Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada cadangan bina hotel Trump di Greenland

    WASHINGTON, 20 OGOS – Presiden Donald Trump, berkata beliau tidak akan membina rangkaian hotel di Greenland, iaitu sehari selepas mendedahkan minatnya untuk membeli wilayah milik Denmark itu.

    Trump memuat naik imej ‘meme’ menggambarkan Trump International Hotel Las Vegas di kawasan pantai berbatu di Twitter.

    “Saya berjanji tidak akan melakukan perkara ini di Greenland,” kata Trump.

    Anak lelaki Trump, Eric turut berkongsi imej ‘meme’ yang sama di Instagram. Imej ‘meme’ itu kali pertama dipaparkan di Twitter pada Khamis lalu, berserta dengan keterangan gambar: ‘Greenland dalam tempoh 10 tahun’.

    Ia dikongsi selepas akhbar The Wall Street Journal melaporkan mengenai minat yang ditunjukkan oleh Presiden Amerika Syarikat itu untuk membeli pulau berkenaan.

    Ahad lalu, Trump mengesahkan minatnya untuk berbuat demikian tetapi ia bukan menjadi keutamaan pentadbirannya.

    “Secara strategiknya ia amat menarik dan kami memang berminat, tetapi kita perlu berbincang dengan mereka (Denmark),” katanya kepada wartawan.

    Denmark menguasai pulau seluas dua juta kilometer persegi itu pada abad ke-18 dan ia kini dihuni kira-kira 57,000 penduduk, sebahagian besarnya masyarakat orang asli Inuit.

    Sementara itu, pada Jumaat lalu, Kementerian Hal Ehwal Luar Greenland berkata, negara yang kaya dengan sumber semula jadi itu sedia berunding untuk menjalinkan kerjasama perniagaan, dan bukannya untuk dijual. – AFP

    Trump International Hotel Las Vegas muncul dalam sebuah ‘meme’ yang ditweet oleh presiden AS. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda