SIDI BOU SAID, TUNISIA, 9 SEPT – Penganjur flotilla ke Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis pro-Palestin mendakwa salah satu flotilla diserang dron tetapi pihak berkuasa Tunisia berkata ‘tiada dron’ telah dikesan.
Flotilla tersebut tiba di Tunisia pada hujung minggu dan setelah berlabuh dari Sidi Bou Said ketika melaporkan kejadian itu.
“Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan bahawa salah satu flotilla utama telah diserang dengan apa yang disyaki sebagai dron,” kata penganjur di media sosial, sambil menambah tiada siapa yang cedera.
Flotilla itu berada di perairan Tunisia apabila kebakaran berlaku dan telah segera dipadamkan, menurut seorang wartawan AFP yang tiba sejurus api dipadamkan.
Houcem Eddine Jebabli, jurucakap pengawal negara Tunisia, berkata siasatan masih ‘diteruskan’ tetapi ‘tiada dron telah dikesan’.
“Menurut penemuan awal, kebakaran berlaku pada jaket keselamatan di atas kapal yang berlabuh 50 batu dari pelabuhan Sidi Bou Said,” katanya.
Laporan mengenai dron adalah, “tidak berasas sama sekali”, kata pengawal negara itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya serta menyatakan bahawa kebakaran itu mungkin berpunca daripada sebatang rokok.
GSF menggambarkan dirinya sebagai kumpulan bebas yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik. Antara peserta berprofil tinggi ialah Greta Thunberg, yang berucap semasa kempen pro-Palestin di Tunisia Ahad lalu.
Israel pula pernah menyekat dua percubaan aktivis untuk menghantar bantuan melalui kapal ke Gaza pada bulan Jun dan Julai lalu. – AFP


