GAZA, 7 MEI – Hamas tidak lagi berminat untuk meneruskan rundingan gencatan senjata dengan Israel dan menggesa komuniti antarabangsa supaya menghentikan ‘perang kebuluran’ Israel terhadap Gaza, kata seorang pegawai kumpulan pejuang itu.
Pegawai Kanan Hamas, Basem Naim berkata tiada makna untuk meneruskan rundingan atau mempertimbangkan cadangan gencatan senjata baharu selagi perang kebuluran dan pemusnahan terus berlaku di Semenanjung Gaza.
Katanya, dunia perlu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya menghentikan jenayah kebuluran, kehausan dan pembunuhan di Gaza.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas tentera Israel mendakwa operasi ketenteraan yang diperluas di Gaza akan membabitkan pemindahan sebahagian besar penduduknya.
Dalam pada itu, hampir keseluruhan penduduk wilayah itu sudah dipindahkan, kebanyakannya lebih daripada sekali sejak bermulanya perang yang tercetus antara Palestin dan Israel pada 7 Oktober 2023.
Gaza diletakkan di bawah sekatan penuh oleh Israel sejak 2 Mac lalu dan kini berdepan krisis kemanusiaan yang buruk.
Tentera Israel menyambung semula sera-ngan ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, sekali gus menamatkan gencatan senjata selama dua bulan.
Menurut seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres amat bimbang dengan rancangan Israel itu yang akan membawa kepada lebih ramai orang awam terbunuh dan kemusnahan seterusnya di Gaza.
Hampir semua daripada 2.4 juta penduduk Semenanjung Gaza sudah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang yang tercetus pada Oktober 2023. – AFP
