Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tiada had usia, kuota haji kembali normal

    KUALA LUMPUR, 10 JAN – Jumlah jemaah haji luar negara diumum kembali seperti sebelum pandemik COVID dan tanpa sebarang had usia.

    Perkara ini diumumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah awal pagi ini (waktu tempatan) pada upacara pembukaan persidangan dan pameran ‘Ekspo Haji 2023’ yang akan berlangsung sehingga 12 Januari.

    Menurutnya, berita gembira ini bakal membolehkan dua juta umat Islam dari luar Arab Saudi dan kira-kira 200,000 umat Islam domestik menunaikan ibadah haji dengan mudah dan senang.

    “Saya hendak umumkan satu berita gembira.

    “Jumlah jemaah haji, sejak tercetusnya pandemik pada 1441 Hijrah (2020 Masihi), Arab Saudi telah mengenakan sekatan bilangan dan usia tertentu untuk menunaikan haji,” katanya.

    Al-Rabiah berkata, “Pada musim 1444 Hijrah (tahun ini), ia akan kembali seperti sebelum pandemik, tanpa sebarang sekatan umur.”

    Jumlah jemaah haji ke Baitullah pada musim haji 1443 Hijrah (2022 M) mencecah 899,353 jemaah termasuk 779,919 jemaah antarabangsa daripada jumlah keseluruhan sejuta jemaah yang dibenarkan.

    Musim haji 1442 Hijrah (2021 Masihi) pula menyaksikan penyertaan haji dihadkan kepada 60,000 jemaah domestik, di bawah kawalan kesihatan ketat pada masa itu akibat pandemik.

    Tahun 1441 Hijrah (2020 Masihi) turut menyaksikan penurunan jumlah kuota yang drastik, apabila hanya kira-kira 10,000 jemaah domestik dibenar menunaikan haji, berbanding 2.5 juta pada tahun 1440 (2019 M) dari seluruh dunia. – Bernama

    Arab Saudi telah mengenakan sekatan bilangan dan usia tertentu untuk menunaikan haji sejak tercetusnya pandemik COVID-19. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...