WASHINGTON, 5 DIS – Perkhidmatan kecemasan di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) merasakan tiada harapan lagi untuk menemukan seorang nenek berusia 64 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam ketika mencari kucingnya, masih hidup, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Steve Limani, jurucakap polis negeri Pennsylvania berkata kelmarin, operasi kini beralih daripada usaha menyelamat kepada usaha pencarian. Jabatan tersebut yakin wanita itu berada di dalam lohong berkenaan, namun disebabkan bekalan oksigen dan keadaan di situ, mereka mengandaikan dia tidak lagi hidup.
Pihak berkuasa percaya wanita itu terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terjadi pada petang Isnin ketika sedang mencari kucingnya, Pepper. Keluarganya menghubungi polis beberapa jam kemudian. Petugas kecemasan menemukan cucunya yang berusia lima tahun dalam keadaan selamat di dalam kereta wanita itu.
Anggota polis kemudian menemukan sebuah lubang di tanah, yang bersaiz kira-kira seperti penutup lubang pembetung. Lubang itu dipercayai pintu masuk ke sebuah terowong lombong lama iaitu tinggalan aktiviti perlombongan arang batu yang banyak di kawasan itu. Menurut laporan, lubang itu mempunyai kedalaman sekitar 10 meter dan melebar di bawah permukaan bumi. – Bernama