MADRID, 27 APRIL – Menteri kesihatan Sepanyol, Salvador Illa berkata kelmarin ia adalah langkah ‘kurang bijak’ untuk menjanjikan musim bola sepak akan disambung semula sebelum musim panas dengan negara tersebut sedang mengambil langkah untuk melonggarkan perintah berkurung terketat di dunia akibat koronavirus.
“Saya tidak boleh berkata sekarang jika bola sepak profesional boleh memulakan aktiviti mereka sebelum musim panas. Ia akan menjadi langkah yang kurang bijak bagi saya,” katanya semasa sidang harian pandemik koronavirus.
Menteri itu mengingatkan supaya La Liga berhati-hati dengan rancangan menguji pemain untuk virus itu sebelum kembali berlatih dan menyambung musim yang telah digantungkan sejak 12 Mac lalu, berkata memberikan keutamaan kepada pemain bola sepak akan melanggar polisi kerajaan.
“Ujian diagnosis dalam apa bentuk sekali pun mesti mendapat kebenaran dari kerajaan setempat,” kata Illa.
Sebelum pemain boleh kembali ke padang mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19. Mereka kemudian akan sering dipantau.
Perdana Menteri, Pedro Sanchez mengumumkan Sabtu lalu bahawa rakyatnya akan dibenarkan untuk melakukan senaman di luar dan berjalan mengambil angin bermula minggu hadapan, dengan perintah berkurung dilanjutkan minggu ini sehingga 9 Mei.
Tidak seperti kebanyakan negara, sejak perintah berkurung pada 14 Mac, Sepanyol tidak membenarkan sesiapa untuk keluar, berlari atau menunggang basikal, hanya membenarkan mereka meninggalkan rumah untuk membeli makanan dan ubat-ubatan, atau kecemasan kesihatan. Lebih dari 23,000 kematian koronavirus, Sepanyol mencatatkan kematian ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan Itali. – AFP
