Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada kaitan antara paracetamol dan autisme

    PARIS, 10 NOV – Tiada bukti jelas menunjukkan kaitan antara pengambilan ubat tahan sakit biasa, paracetamol, oleh wanita hamil dan autisme dalam kalangan anak mereka, menurut satu kajian semakan menyeluruh terhadap bukti sedia ada yang diterbitkan hari ini, sekali gus menolak dakwaan berulang yang dibuat oleh Donald Trump.

    Pada September lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mencetuskan kemarahan komuniti perubatan apabila mendakwa bahawa paracetamol juga dikenali sebagai asetaminofen telah dikaitkan dengan peningkatan kadar autisme.

    Trump turut menggesa wanita hamil supaya ‘menahan kesakitan’ daripada mengambil paracetamol, kenyataan yang menurut para penyelidik kesihatan boleh menakut-nakutkan wanita daripada menggunakan pilihan paling selamat untuk merawat kesakitan serta berisiko menambah stigma terhadap individu autistik.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan tiada bukti kukuh menunjukkan paracetamol yang merupakan bahan utama dalam ubat tahan sakit popular seperti Tylenol dan Panadol menyebabkan autisme.

    Pada Isnin, kajian semakan menyeluruh yang menilai semua penyelidikan saintifik pernah dijalankan mengenai topik itu diterbitkan dalam jurnal perubatan British, BMJ.

    Gambar fail 23 September menunjukkan ubat Tylenol. – AP

    “Kajian sedia ada tidak menunjukkan kaitan yang jelas antara pendedahan janin kepada paracetamol dengan autisme atau gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) dalam kalangan anak,” tulis pasukan penyelidik dari United Kingdom itu dalam laporan berkenaan.

    Terdapat beberapa kajian terdahulu yang mengatakan kemungkinan adanya kaitan antara paracetamol dengan autisme atau ADHD.

    Namun, kualiti kajian tersebut dinilai sebagai “rendah hingga sangat rendah,” sebahagiannya kerana tidak mengambil kira faktor yang boleh mengelirukan hasil, seperti sama ada autisme diwarisi dalam keluarga.

    Kajian-kajian terdahulu yang kontroversi itu juga gagal menjelaskan bagaimana paracetamol boleh menyebabkan autisme secara saintifik.

    Semakan menyeluruh itu turut menyeru agar lebih banyak penyelidikan berkualiti dijalankan, sambil menekankan terdapat ‘kurangnya pelaburan bersejarah dan berterusan dalam penyelidikan kesihatan wanita.’ – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda