PUTRAJAYA, 28 DIS – Lebih 656,000 pengguna elektrik di Sabah dan Labuan tidak akan terlibat dengan kenaikan tarif bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 susulan pelaksanaan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi kenyataan memaklumkan pengguna domestik dan bukan domestik yang dikecualikan daripada surcaj ICPT terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam kategori tarif komersial dan industri voltan rendah.
Sementara itu, pengguna bukan domestik di Sabah dan Labuan yang merangkumi kategori tarif voltan rendah, sederhana dan tinggi yang antaranya terdiri daripada komersial dan industri pula akan dikenakan surcaj ICPT secara penuh pada kadar 10.04 sen setiap kilowatt per jam (kWj).
“Kerajaan memperuntukkan subsidi RM212.20 juta sepanjang tempoh enam bulan itu bagi menampung kos penjanaan elektrik untuk memastikan tiada kenaikan tarif berlaku,” menurut ST hari ini. – Bernama


